ANGGOTA bomba BBP Lipis melakukan operasi pencarian mangsa di kawasan bekas lombong emas, Jalan Taban, kampung Merapoh, dekat sini. FOTO ihsan BBP Lipis
ANGGOTA bomba BBP Lipis melakukan operasi pencarian mangsa di kawasan bekas lombong emas, Jalan Taban, kampung Merapoh, dekat sini. FOTO ihsan BBP Lipis
Amir Hamzah Nordin


Lipis: Remaja berusia 13 tahun ditemukan lemas di bekas lombong emas di Jalan Taban, Kampung Merapoh, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, mangsa, Muhammad Adam Harris Mohd Azman iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu bersama sepupunya ke kawasan itu jam 7 malam semalam untuk memancing.

"Menurut sepupunya, ketika sedang memancing, tiba-tiba mata joran mangsa terputus.

"Mangsa kemudian turun ke dalam lombong dan berenang pada jarak kira-kira 12 meter sebelum tenggelam," katanya.

Ismail berkata, sejurus menerima maklumat, anggota polis bersama bomba dibantu penduduk kampung melakukan operasi pencarian di tempat kejadian.

"Mangsa ditemukan pasukan mencari dan penyelamat jam 2.50 pagi hari ini.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merapoh pada 3 pagi.

"Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kejadian diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 3:41 PM