PENENTANG Park mengusung penjara olok-olok dengan patung presiden itu di dalamnya selepas Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusannya.  - AFP
PENENTANG Park mengusung penjara olok-olok dengan patung presiden itu di dalamnya selepas Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusannya. - AFP
Agensi

Seoul: Dua penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan polis selepas Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan semalam memecat Presiden Park Geun-Hye.

Pasukan keselamatan terpaksa melepaskan semburan lada ketika penyokong Park cuba merempuh kepungan polis di hadapan mahkamah itu.

Seorang daripada yang mati itu ialah lelaki tua yang cedera di kepala sementara kematian kedua masih disiasat.

Gambar menunjukkan penyokong bekas presiden itu bergelut dengan polis yang berusaha menghalang mereka memasuki kawasan mahkamah selepas keputusan memecat Park diumumkan.

Penyokong Park kemudian mula menyerang bas polis di kawasan berkenaan dengan galah panjang.

Park ialah pemimpin wanita pertama Korea Selatan dan presiden pertama yang dipilih secara demokratik dipecat dan didakwa di Parlimen kerana skandal rasuah.

Pemangku ketua hakim mahkamah itu, Lee Jung-mi, dalam keputusan yang dibacakannya berkata, Park mencabuli pelembagaan dan undang-undang ketika menjadi presiden dan meskipun dibantah oleh Parlimen dan media, dia masih menyembunyikan kebenaran dan bertindak terhadap pengkritiknya.

“Penyingkirannya adalah untuk melindungi perlembagaan. Kami sebulat suara mencapai keputusan untuk menyingkirkan Presiden Park Geun-hye daripada jawatannya,” kata Lee.

Pilihan raya untuk memilih presiden baru akan diadakan dalam masa 60 hari.

Park, 65, tidak lagi mempunyai imuniti selaku presiden dan kini boleh didakwa atas tuduhan jenayah berkait dengan rasuah, memeras ugut dan menyalah guna kuasa.

Park sebelum ini dituduh bersengkongkol dengan rakan karibnya, Choi Soon-sil yang juga bekas pembantu presiden atas tuduhan memeras syarikat perniagaan besar supaya menderma kepada dua yayasan yang didirikan untuk menyokong dasarnya.

Park juga dituduh mendapatkan rasuah daripada ketua kumpulan Samsung sebagai balasan kepada sokongan kerajaan terhadap syarikat berkenaan.

Pengerusi Samsung, Jay Y Lee menghadapi tuduhan rasuah dan penggelapan wang berkait dengan skandal itu dan kini dalam tahanan. Perbicaraannya bermula kelmarin.

Dia dan Samsung menafi melakukan sebarang salah laku.

Sementara itu, ketika penyokong Park bertempur dengan polis di luar mahkamah, penentang bekas presiden itu menyambut baik penyingkirannya.

Hasil kajian baru-baru ini menunjukkan lebih 70 peratus rakyat Korea menyokong pendakwaan ke atasnya.

Perdana Menteri Hwang Kyo-ahn yang dilantik memangku tugas presiden akan kekal memegang jawatan itu sehingga pilihan raya.

Sementara itu, di Pyongyang, media Korea Utara menyambut baik keputusan mahkamah itu dengan menyifatkan Park sebagai penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 6:45 AM