LEE
LEE
AP

Seoul: Perdana Menteri Korea Selatan Lee Wan Koo menawarkan untuk meletak jawatan berikutan skandal rasuah yang menyelubunginya hanya dua bulan selepas memegang jawatan kedua terpenting di negara itu, lapor seorang pegawai semalam.

Lee Wan Koo dikaitkan dengan rasuah yang terbongkar selepas ahli perniagaan Sung Wan-jong membunuh diri awal bulan ini dan meninggalkan memo senarai nama tokoh berprofil tinggi dan rapat dengan Presiden Park Geun-hye didakwa disogok, termasuk Lee.

Sebelum kematiannya, Sung memberitahu sebuah akhbar harian dia ada menyerahkan 30 juta won (RM100,000) kepada Lee pada 2013.

Biarpun menafikan dakwaan itu, dia digesa meletak jawatan sebaik media Korea Selatan menunjukkan bukti hubungannya dengan Sung.

Pejabatnya mengesahkan Lee menghantar surat peletakan jawatan kelmarin kepada Park yang kini berada di Peru.

Park kesal dengan peletakan jawatan itu selain dan mengatakan dia turut ‘merasai kemelut dihadapi Lee’ ‘ dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang kediaman presiden, Rumah Biru. Dia turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Jurucakap presiden Chun Hye-ran bagaimanapun berkata Park belum menyatakan menerima peletakan jawatan itu atau sebaliknya.

Skandal terbaru itu muncul ketika Park berdepan kritikan terhadap cara kerajaan menangani tragedi feri Sewol yang mengorbankan lebih 300 orang tahun lalu.

Keganasan meletus Sabtu lalu dalam perhimpunan diketuai saudara-mara mangsa dan penyokong mereka sekaligus mengakibatkan puluhan orang cedera.

Park turut menghadapi kritikan kegagalannya berkomunikasi dengan orang awam selain dianggap kurang telus dalam melantik kakitangan.

Beberapa perdana menteri dan ahli Kabinet sebelum ini terpaksa menarik diri daripada proses penamaan calon selepas dakwaan mengenai etika dan tingkah lalu mereka ditimbulkan.

Tuduhan pembabitan Lee dalam skandal rasuah muncul selepas dia mengumumkan rancangan kerajaan untuk memerangi rasuah pada Mac lalu.

Menurut media negara itu, Sung yang disiasat selepas pengumuman itu dibuat mengadu dikhianati Lee dan menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:33 AM