ABANG Johari ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong di Gedong. FOTO ihsan UKAS
ABANG Johari ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong di Gedong. FOTO ihsan UKAS
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tan Sri Abang Johari Abang Openg enggan melayan suara-suara sumbang yang cuba memburukkan reputasinya ketika beliau sedang berusaha untuk membawa perubahan di Sarawak.

Premier Sarawak itu berkata, beliau tidak gentar dengan usaha segelintir pihak yang kini mula mengkritik pentadbirannya.

Menurutnya, kritikan itu menguatkan lagi iltizam untuk terus bekerja keras bagi mencapai matlamat Sarawak maju menjelang tahun 2030.

"Rakyat Sarawak tidak harus terpengaruh dengan kata-kata hasutan pihak luar terhadap usaha kita untuk membawa perubahan di Sarawak.

"Kita harus terus fokus untuk membangunkan negeri ini bersama barisan kepimpinan di dalam Kerajaan Sarawak," katanya pada Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong di Gedong, Simunjan, hari ini.

Abang Johari berkata demikian sebagai maklumbalas kepada beberapa artikel yang menfitnah pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, artikel itu menunjukkan ada pihak yang kini mula cemburu dan dengki terutamanya terhadap pencapaian kerajaan Sarawak meraih sebanyak RM13 bilion tahun lalu.

"Pendapatan itu disebabkan kita (di Sarawak) bekerja kuat di mana rezeki tidak datang bergolek tetapi datang daripada hasil kerja kuat.

"Hasilnya, pendapatan yang diterima ini, kita bantu apa yang patut untuk rakyat Sarawak," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 4:31 PM