GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Lelaki dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan berjaya ditahan, kelmarin.

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah selepas polis menahan seorang kakitangan sebuah bank sehari sebelum itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini hanya dua individu ditahan berhubung kes berkenaan.

"Kita percaya lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang dari akaun simpanan.

"Pada masa ini, pasukan JSJK sedang berusaha menjalankan siasatan untuk menjejak saki-baki sindiket ini dan seterusnya memberkas mereka," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ramli berkata, siasatan awal mendedahkan terdapat pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan kerana hanya boleh dilakukan dengan 'bantuan' dalaman bank.

Katanya, polis menerima empat laporan berkaitan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor, awal bulan ini.

Pengadu terdiri daripada pemilik akaun memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Kesemua pemilik akaun yang terbabit menafikan perkara berkenaan kerana tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran seperti didakwa.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Terdahulu, polis mendedahkan kakitangan sebuah bank berusia 38 tahun ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, pada Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 3:48 PM