PESERTA mempamerkan minuman tongkat ali Long Jack.
PESERTA mempamerkan minuman tongkat ali Long Jack.

Port Dickson: Perniagaan Orang Kampung Sdn Bhd (POK) akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada penganjuran kejohanan mountain bike (MTB) anjuran Harian Metro.

Eksekutif Pemasaran POK Naharul Azmir Johar berkata, mereka akan menyokong penuh program berkenaan kerana kejohanan itu dilihat berupaya menampilkan aktiviti besar dan berprestij yang disertai pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, lebih membanggakan, katanya, kejohanan itu bukan saja membabitkan penyertaan peserta tempatan malah luar negara.

“Kami teruja untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada kejohanan ini kerana secara keseluruhannya penganjurannya begitu berjaya, terutama dalam menghimpun pelumba tempatan dan luar negara.

“Malah kejohanan ini dilihat mempunyai kelas tersendiri apabila diadakan mengikut sirkit dan di lokasi berlainan dengan setiap pelumba membuat persiapan rapi untuk merebut kejuaraan serta hadiah ditawarkan.

“Cabaran yang ditampilkan dalam perlumbaan membuktikan betapa MTB Harian Metro setanding dengan kejohanan di luar negara dan kami amat berbangga kerana dapat sama-sama menyumbang untuk penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Naharul Amir berkata, ini bukan pertama kali POK memberikan kerjasama dalam penganjuran program anjuran Harian Metro kerana pernah bekerjasama sebelum ini.

Beliau berkata, sokongan itu sebagai tanda tanggungjawab untuk sama-sama membangunkan masyarakat yang sihat dan cergas selain mengeratkan perpaduan antara kaum melalui aktiviti sukan.

“Kami tiada masalah untuk terus memberikan sokongan pada Sirkit 3 di Johor Bahru, nanti kerana dapat mendekatkan lagi jenama POK dengan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang menghantar beberapa pelumba bagi mewakili POK dengan persiapan sedang dilakukan untuk memastikan mereka dapat menjulang nama pasukan.

“Ketika di Lukut, pelumba kami tidak dapat mengambil bahagian kerana mempunyai komitmen lain tapi saya yakin mereka akan menyertai pada Sirkit 3 nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:06 AM