KERAH kudrat melepasi laluan berbukit.
KERAH kudrat melepasi laluan berbukit.
PESERTA menunggu detik pelepasan.
PESERTA menunggu detik pelepasan.
Mohd Amin Jalil


Cuaca mendung serta tiupan bayu laut menyambut kehadiran ribuan peserta Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016, Sirkit 2 di Lukut, Port Dickson Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Mereka mulai tiba di pekarangan Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) seawal jam 5 pagi untuk menyahut cabaran kejohanan basikal lasak anjuran Harian Metro yang pertama kali singgah di bandar pelancongan ini.

Mengharungi lebih 50 bukit dengan ketinggian purata 60 meter selain cerun dan landasan kereta api antara halangan dilalui 1,300 pelumba lelaki dan wanita termasuk dari luar negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Peserta dilepaskan tepat jam 8.05 pagi oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamik Bank Berhad, Nazlee Khalifah.

Penyertaan yang begitu ramai membuatkan kejohanan terbabit menampilkan saingan amat sengit, kerana selain memburu kejuaraan, setiap 10 pemenang pertama bagi setiap kategori akan memperoleh mata untuk dibawa ke saingan seterusnya sekali gus membuka peluang untuk muncul juara keseluruhan.

Walaupun berdepan cabaran getir sejauh 46.1 kilometer yang turut membabitkan laluan batu bata, sempit serta ladang kelapa sawit, peserta dilihat berusaha keras memberikan saingan dalam misi merebut hadiah ditawarkan.

Kekuatan fizikal dan mental mereka nyata diuji ketika berhadapan dengan trek berbeza itu, malah tidak kurang ada kalangan pelumba yang terpaksa berhenti seketika kerana kepenatan.

Begitupun cuaca baik melegakan setiap pelumba membantu mereka memberikan persembahan lebih baik. Lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Junior (19 tahun ke bawah), Lelaki Terbuka (20 hingga 35 tahun), Lelaki Junior Master (35 hingga 44 tahun), Lelaki Senior Master (45 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.

Pelumba tempatan masih mendominasi sebahagian besar kategori dipertandingkan terutama membabitkan Lelaki Terbuka dan Lelaki Junior, namun berlaku perubahan bagi kategori Lelaki Senior Master dan Terbuka Wanita, yang menyaksikan kedudukan juara, naib juara dan tempat ketiga berubah berbanding sirkit pertama di Kulim Kedah, Julai lalu.

Pelumba Thailand menjadi pesaing paling hebat dalam kejohanan berkenaan apabila mengungguli Lelaki Senior Master dan Terbuka Wanita.

Menurut Mustapa, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan penyertaan sirkit kedua yang amat menggalakkan.

“Saya yakin, setiap peserta dapat merasai kepuasan yang maksimum dengan trek disediakan. Malah, komitmen pelumba juga memuaskan apabila mereka menunjukkan semangat pelumbaan tinggi dengan masing-masing memperagakan kayuhan mantap hingga ke garisan penamat,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan berbasikal lasak HMMTB membabitkan tiga lokasi dengan sirkit pertama di Kulim, diikuti Lukut sebelum grand final berlangsung di Skudai Johor, Disember ini.

Menurutnya, program itu bertujuan mempopularkan sukan basikal lasak dalam kalangan rakyat negara ini selain menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan perpaduan pelbagai kaum.

“Kejohanan ini sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya untuk memberi pengiktirafan kepada pelumba dalam mahupun luar negara. Malah, kita pernah menerima sambutan luar biasa pada 2013 dan 2014 membabitkan penyertaan hampir 13,000 orang termasuk dari Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Eropah,” katanya.

Sementara itu, peserta ditemui teruja menyertai kejohanan walaupun menyedari sukar untuk mereka berada dalam kelompok terbaik.

“Saya tidak meletakkan sasaran tinggi kerana sedar keupayaan yang ada berbanding pelumba pasukan lain yang lebih hebat. Tapi kami begitu teruja untuk mengambil bahagian bagi memeriahkan kejohanan kerana saya lihat inilah satu-satu kejohanan basikal lasak berprestij di negara ini,” kata Noor Aslinda Marzuki, 32, dari Putrajaya yang mewakili Kelab Perlumbaan Wanita Pinky (TPWR).

Pemenang ketiga kategori Lelaki Senior Master, Mohd Razani Hussin, 46, pula mengakui saingan kejohanan amat mencabar. Namun, bekas pelumba lasak kebangsaan itu tetap puas hati meraih tempat ketiga kerana berhadapan trek mencabar dengan catatan masa 1:45:49s.

Harian Metro MTB Grand Prix 2016 mendapat kerjasama Kumpulan Affin Bank sebagai penaja utama selain lebih 10 syarikat lain antaranya Honda, Perniagaan Orang Kampung Sdn Bhd (POK) dan Universal Fitness & Leisure Sdn Berhad (UFL) menaja barangan Deuter, turut memberikan sokongan.

Selain itu, beberapa agensi kerajaan juga turut memeriahkan kejohanan seperti Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Jabatan Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Hospital Port Dickson, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Turut memeriahkan kejohanan beberapa aktiviti sampingan termasuk pertandingan mewarna, aplikasi MTB Harian Metro dan uji fizikal.

Juara setiap kategori membawa pulang RM1,000, kedua (RM700), ketiga (RM500), keempat dan kelima (RM400 dan RM300) manakala keenam dan ketujuh (RM200) serta RM100 bagi tempat kelapan hingga ke-10.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:03 AM