PELUMBA JBBB jalani latihan meredah hutan.
PELUMBA JBBB jalani latihan meredah hutan.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Kerap mengadakan latihan meredah hutan setiap petang memberikan kelebihan buat pasukan Jiwa Basikal Bukit Beruntung (JBBB) meraih kejayaan pada sirkit akhir Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu, Sabtu ini .

Pengurus pasukan Syeikh Mohd Fadzli Syeikh Salleh berkata, pelumba JBBB memiliki kelebihan dari segi pemahaman trek.

Malah katanya, penyertaan 30 pelumba membuktikan sokongan padu pasukan dalam membantu merancakkan sirkit terakhir di kawasan mereka.

“Mengambil kira kedudukan terbaik bawah 20 dalam beberapa sirkit MTB Harian Metro terdahulu, kami yakin kali ini pelumba JBBB mampu menguasai trek dengan baik.

“Ada pelumba kami sudah mengikuti simulasi kejohanan bagi mendapatkan gambaran sebenar jarak perlumbaan sejauh 40 kilometer meredah hutan dara asli,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman menyertai jambori tempatan dan antarabangsa sejak tiga tahun lalu juga memberikan keyakinan mereka.

Katanya, peluang beraksi di kawasan sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya pelumba JBBB dalam setiap kategori dipertandingkan.

“Kami mahu koleksi kemenangan sirkit terakhir ini. Itu sasaran pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 7:18 AM