MUSTAPA  (kiri), Nazlee (tengah) mengalungkan pingat  kepada pemenang Kategori Terbuka Lelaki, Muhammad Fauzan Mohd Lutfi.
MUSTAPA (kiri), Nazlee (tengah) mengalungkan pingat kepada pemenang Kategori Terbuka Lelaki, Muhammad Fauzan Mohd Lutfi.

Port Dickson: Kumpulan Affin Bank berhasrat untuk meneruskan penajaan di kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 selepas ini.

Penyertaan kali kedua Kumpulan Affin Bank sebagai penaja utama di Lukut kelmarin ternyata berbaloi apabila acara sukan berbasikal berkenaan menerima penyertaan menggalakkan daripada pelumba dalam negara dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah berkata, pihaknya teruja menjadi sebahagian daripada penganjuran kejohanan yang popular itu.

“Kita yakin Harian Metro dapat menganjurkan acara dengan jayanya berdasarkan pengalaman kami menyertai program akhbar itu sebelum ini. Apabila diberi peluang kali kedua, pastinya kami berbesar hati kerana inilah peluang penjenamaan buat kami.

“Selain itu, ia adalah tanda sokongan Affin Bank terhadap aktiviti sukan lasak berkenaan. Ada kemungkinan kami akan meneruskan penajaan jika tiada kekangan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada 20 pemenang kategori Terbuka Lelaki dan Wanita pada majlis penyampaian hadiah di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) Lukut, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The News Straits Times Press (NSTP) Malaysia Berhad Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Nazlee berkata, selain menaja kejohanan itu, pihaknya turut mengambil peluang untuk sama-sama menyertai acara dengan mempertaruhkan 20 peserta dari Kelab Berbasikal Affin Bank (ABCC).

Beliau berkata, penubuhan kali pertama kelab sukan berbasikal itu dilakukan selepas melihat saingan, semangat dan kerjasama di kalangan peserta lain ketika berlumba di HMMTB Sirkit 1 di Kulim, Kedah, Julai lalu.

“Kami sedia menyokong apa saja usaha Harian Metro bagi mengadakan acara atau program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Kemeriahan kejohanan kali ini turut disertai penaja lain seperti Honda, Polygon, Proucell, Deuter, Snickers, Amskin, Julie’s Biscuit, Orang Kampung, minuman tenaga Lucozade, Giant dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd.

Turut memberikan kerjasama, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Jabatan Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Hospital Port Dickson, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:05 AM