PELUMBA MTB56 Cyclist Team berehat selepas menamatkan perlumbaan di Asahan.
PELUMBA MTB56 Cyclist Team berehat selepas menamatkan perlumbaan di Asahan.

Jasin: Tanpa jemu, pasukan MTB56 Cyclist Team dari Terengganu tidak pernah melepaskan peluang beraksi pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014.

Jurucakap pasukan Azlizan Ahmad berkata, pasukan yang mempunyai 50 ahli itu menyokong sepenuhnya penganjuran kejohanan basikal lasak Harian Metro.

“Kejohanan anjuran Harian Metro berbeza terutamanya dari segi pelaksanaan yang jauh lebih baik dan kemas berbanding pertandingan lain.

“Pasukan kami memang menyertai banyak kejohanan, namun kami bahagikan mengikut kelompok dengan 13 pelumba hanya memberi fokus kepada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014,” katanya ketika ditemui di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Asahan.

Menurutnya, setiap kali menghantar pelumba, sudah semestinya mereka menetapkan sasaran, tetapi tidak terlalu menekankan soal kemenangan kerana pendekatan santai digunakan supaya setiap ahli pasukan berseronok ketika berlumba.

Sambil mengakui setiap penganjuran kejohanan pasti tidak sempurna, Azlizan berkata, selepas empat sirkit, penganjur mempamerkan peningkatan dalam penganjuran kejohanan yang menjadikannya lebih baik setiap masa.

“Paling unik kejohanan ini adalah lokasi dan trek yang mencabar dan cantik. Memang berbaloi untuk mana-mana pasukan atau pelumba persendirian mengambil bahagian tidak kira secara kompetitif atau santai.

“Lihat saja di Asahan, kami dapati trek laluan cukup mencabar, tapi puas selepas dapat menikmati pemandangan indah di kaki Gunung Ledang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:17 AM