PASUKAN Kedah pasti akan bangkit balas dendam ke atas Selangor selepas kecewa pada final musim lalu.
PASUKAN Kedah pasti akan bangkit balas dendam ke atas Selangor selepas kecewa pada final musim lalu.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Lim Chan Yew percaya pertembungan sekali lagi Kedah dan Selangor di pentas final Piala Malaysia 30 Oktober ini tetap menjanjikan aksi menarik kerana kedua-dua pasukan bakal menurunkan pemain berbeza.

Dalam tempoh dua tahun berturut-turut kedua-dua pasukan itu kembali berentap merebut kejuaraan edisi ke-90 di Stadium Shah Alam iaitu gelanggang yang menyaksikan Selangor dinobatkan kejuaraan ke-34 tahun lalu.

Biarpun pasukan yang sama, Chan Yew menganggap pertemuan Kedah yang menjadi tuan rumah kepada Selangor kali ini tetap mempunyai tarikan tersendiri.

“Pada saya final akan tetap menarik kerana walaupun dua pasukan yang sama, pemain yang ada dalam pasukan itu sedikit berbeza.

“Kalau kita lihat Kedah kali ini mempunyai dua penyerang import baru Shane Smeltz dan Thiago Augusto Fernandes, sama seperti Selangor yang menggantikan Guilherme De Paula dengan Patrick Ronaldinho.

“Ada beberapa lagi pemain di posisi lain juga turut berubah dalam kedua-dua pasukan jadi sudah pasti ia sesuatu yang ingin disaksikan penyokong,” katanya kepada Arena Metro.

Ia pertemuan ketiga dalam sejarah antara Kedah dan Selangor dengan rekod kedua-dua pasukan seri 1-1 apabila Kedah menang 3-2 di final pada 2008 manakala Selangor membalas dendam tahun lalu menerusi kemenangan 2-0.

Chan Yew yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Selangor pada 2002 menganggap bekas pasukannya itu dilihat mempunyai kelebihan berbanding Kedah.

“Sebenarnya aksi final sukar untuk dijangka. Tahun lalu atas kertas Kedah dianggap pasukan pilihan namun mereka gagal mempamerkan permainan sebenar di final.

“Kalau kita lihat pada saingan separuh akhir nampak permainan Selangor lebih meyakinkan manakala Kedah nampak bergelut untuk mengatasi PDRM.

“Namun aksi final adalah penentu segalanya, walaupun bermain di laman sendiri bukan jaminan untuk Selangor kerana Kedah tidak ada masalah untuk membawa lebih 30,000 penyokong ke Shah Alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:59 AM