RAZMAN  (tiga dari kanan)  mahu rakan fokus jumpa Perak.
RAZMAN (tiga dari kanan) mahu rakan fokus jumpa Perak.

Kuala Lumpur: Kapten pasukan Selangor Razman Roslan percaya kehadiran bekas jurulatih Red Giants Mehmet Durakovic yang kini bersama Perak tidak mencetuskan kebimbangan mereka apabila kedua-dua pasukan bertemu di Selayang dalam aksi Liga Super malam ini.

Tonggak pertahanan itu berkata, walaupun mengetahui tahap kemampuan sebilangan besar pemain Selangor, dia tetap yakin corak permainan dan taktikal diterapkan jurulatih baru P Maniam berbeza.

“Biarpun kedudukan kami dalam liga lebih baik tapi Selangor masih dianggap ‘underdog’ kerana Perak memiliki pemain baik. Mereka mempunyai beberapa pemain berstatus bintang dan sememangnya kelebihan kepada mereka.

“Namun jika mahu mengambil kira faktor Perak sekarang dibimbing Mehmet yang juga bekas jurulatih Selangor, saya rasa ia tidak memberi banyak kesan kerana Selangor juga sudah melakukan banyak perubahan,” kata Razman kepada Arena Metro semalam.

Walaupun seri 1-1 dengan Kedah pada aksi terakhir liga, ia tetap dianggap keputusan baik buat Selangor yang kini menduduki tangga ketiga.

Skuad The Bos Gaurus pasti merasai tekanan dalam perlawanan ini apatah lagi selepas tewas 2-4 kepada Kelantan.

Dua bekas pemain Selangor iaitu kapten Sharom Kalam dan Mohd Hafiz Kamal menjadi watak penting Perak musim ini dan Razman percaya tugas mereka di Ipoh bukan mudah.

“Semua pemain tahu tanggung jawab masing-masing, malah taktikal jurulatih yang sesuai dengan pemain menjadi resepi kejayaan kami setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:14 AM