ADAM Nor Azlin ketika sesi latihan. FOTO Asyraf Hamzah
ADAM Nor Azlin ketika sesi latihan. FOTO Asyraf Hamzah
Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Malaysia, Adam Nor Azlin menegaskan skuad negara tidak boleh memandang mudah terhadap kemampuan Indonesia apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu di separuh akhir bola sepak di Stadium Shah Alam, esok.

Biarpun Malaysia pernah menewaskan Indonesia 3-0 pada aksi kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok, bulan lalu namun Adam menjelaskan keputusan itu tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur dalam saingan kali ini.

“Memang kita pernah menentang Indonesia dan meraih kemenangan, tapi ia sudah berlalu. Kelayakan Piala AFC B-23 dan Sukan SEA adalah dua kejohanan berbeza.

“Bagi separuh akhir nanti, semua pasukan bermula dengan kosong. Jadi semua pasukan ada peluang untuk layak ke final.

“Indonesia sudah membuktikan mereka juga antara pasukan yang bagus apabila berjaya mara ke separuh akhir dan kami tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan lalu,” kata Adam.

Teka-teki mengenai pasukan mana yang akan ditentang Malaysia pada separuh akhir terjawab semalam apabila Indonesia sah muncul naib juara Kumpulan B selepas menewaskan Kemboja 2-0.

Selain itu, Adam percaya semua pemain Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi aksi separuh akhir nanti.

“Kalau ikut persediaan memang kami tiada masalah, hanya yang diperlukan ketika ini adalah fokus sepenuhnya dan mengikut segala perancangan jurulatih.

“Jika kami dapat meneruskan permainan yang cemerlang dalam peringkat kumpulan, Insya-Allah tiada masalah untuk final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 11:36 AM