SAFEE (tengah) mahu ‘matikan’ langkah pemain Vietnam lebih awal.
SAFEE (tengah) mahu ‘matikan’ langkah pemain Vietnam lebih awal.
Oleh Aziman Rosdi

Shah Alam: “Kami perlu rentap semangat Vietnam lebih awal,” kata penyerang Harimau Malaya Safee Sali menjelang pertembungan separuh akhir Piala AFF 2014 di Stadium Shah Alam malam ini.

Ia mesej jelas daripada penggempur utama negara itu buat rakan sepasukan supaya mematikan langkah pasukan pelawat lebih awal bagi mengelak insiden sama berulang apabila mereka tewas 1-3 pada aksi persahabatan 16 November lalu di Hanoi.

Pada aksi pemanas badan itu, skuad kendalian Dollah Salleh mensia-siakan sekurang-kurangnya empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak pertama sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan Muslim Ahmad dikenakan kad merah.

Bagi Safee, 30, yang kembali mendapat sentuhan jaringan dengan meledak satu gol untuk membantu Harimau Malaya mara ke separuh akhir dengan mengalahkan Singapura 3-1 di peringkat Kumpulan B Sabtu lalu percaya pertemuan dengan Vietnam malam ini menyajikan satu aksi berbeza.

“Kita pernah bertemu dengan Vietnam sebelum ini dan memang kita kecewa kerana tidak menggunakan peluang dengan baik dalam perlawanan itu.

“Tapi saya percaya semua pemain sudah belajar daripada kesilapan itu dan kalau boleh kita ‘matikan’ cabaran Vietnam (hari ini) lebih awal,” kata penjaring terbanyak kejohanan 2010 itu kepada Arena Metro semalam.

Malaysia, juara 2010 akan membuat perhitungan dengan pemenang 2008 Vietnam malam ini bagi aksi separuh akhir pertama sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 11 Disember.

Kedua-dua pasukan beraksi dalam pertembungan empat pasukan terakhir tujuh kali sejak 1996.

Mereka juga melangkah ke final dua kali dengan tewas pada penampilan pertama sebelum menjulang trofi pada percubaan kedua.

Pada pertemuan terakhir dua musuh itu dalam Piala AFF 2010 ternyata memihak kepada Harimau Malaya dengan kemenangan agregat 2-0 hasil jaringan Safee pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jali.

Bagi Safee, bintang Johor Darul Ta’zim percaya dirinya lebih fokus kali ini berbanding sebelum ini diganggu dengan masalah luaran berikutan insiden perbalahannya dengan penyokong sendiri di laman sosial serta penyebaran gambar dia sedang menghisap rokok di salah sebuah restoran di Singapura.

“Saya percaya bukan saya saja malah semua pemain sudah bersedia untuk bertemu Vietnam. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran (gol) esok (hari ini) tapi saya kini lebih yakin selepas menjaringkan gol dengan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:02 AM