TENTERA India mengawal lebuh raya di pinggir Srinagar, Kashmir, semalam.  - Reuters
TENTERA India mengawal lebuh raya di pinggir Srinagar, Kashmir, semalam. - Reuters

New Delhi:India melancarkan serangan terhadap suspek militan yang didakwanya melakukan persiapan untuk menceroboh negara itu dari wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Islamabad berkata, dua tenteranya terbunuh dalam kejadian tembak-menembak ketika cuba mematahkan serangan itu.

Ini kali pertama tindak balas ketenteraan dilakukan India berhubung serangan ke atas sebuah pangkalan tenteranya di Uri, yang didakwa dilakukan Pakistan pada 18 September sehingga menyebabkan 18 tentera India terbunuh.

Serangan semalam meningkatkan kemungkinan ketegangan tentera semakin buruk antara dua negara yang memiliki senjata nuklear itu hingga mungkin menyebabkan gencatan senjata Kashmir 2003 dibatalkan.

Ketua Pengarah operasi tentera India, Leftenan Jeneral Ranbir Singh berkata, serangan dilancarkan kelmarin selepas pihaknya menerima maklumat khusus dan boleh dipercayai kononnya beberapa unit militan sudah bersedia menceroboh dan menyerang sasaran di India.

Ranbir mendakwa dia menghubungi rakan sejawatannya di Pakistan untuk memaklumkan mengenai operasi itu.

Jurucakap tentera Pakistan mengecam kenyataan India yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan penipuan menyeluruh.

Menurutnya, sembilan askarnya juga cedera dalam serangan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:11 AM