PELURU berpandu BrahMos. FOTO Twitter
PELURU berpandu BrahMos. FOTO Twitter
AFP

New Delhi: Tentera udara India pada Selasa memecat tiga pegawainya susulan insiden pelancaran tidak disengajakan membabitkan peluru berpandu krus (cruise missile) ke Pakistan, pada Mac lalu.

Ia susulan siasatan kes itu selama beberapa bulan.

Peluru berpandu supersonik BrahMos yang tidak dilengkapi senjata itu secara tidak sengaja dilancarkan dari tapak rahsia tentera di utara India, pada awal Mac.

Ia jatuh di kawasan kira-kira 125 kilometer di dalam wilayah Pakistan, namun tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Kenyataan dari tentera udara India berkata, siasatan menunjukkan tiga pegawai bersalah apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan tindakan berkenaan.

"Tiga pegawai ini bertanggungjawab atas insiden berkenaan. Perkhidmatan mereka dipecat oleh Kerajaan Pusat secara serta-merta," katanya.

Islamabad sebelum ini berkata, "objek terbang supersonik" terbang pada ketinggian 40,000 kaki (kira-kira 12,000 meter) menceroboh ruang udaranya dan jatuh di kawasan tidak ada penduduk, pada 9 Mac.

Susulan kejadian, New Delhi mengaku ia adalah salah pihaknya, manakala Islamabad berkata, tindakan itu membahayakan pesawat awam dan melakukan protes diplomatik.

India melabelkan insiden itu sebagai "amat dikesali" dan berjanji untuk siasatan menyeluruh mengenainya.

Pakistan sudah mendesak supaya siasatan bersama dilakukan dan mempersoalkan protokol keselamatan nuklear dan peluru berpandu negara jirannya itu.

Hubungan antara kedua negara yang mempunyai kemampuan senjata nuklear itu selalu tegang, dengan kedua-duanya berperang tiga kali sejak merdeka daripada Britain pada 1947.

Negara terbabit hampir sekali lagi berperang pada Februari 2019 apabila India melancarkan serangan udara ke dalam wilayah Pakistan.

Ia selepas negara itu mendakwa kumpulan militan di situ terbabit dengan insiden serangan bom berani mati yang membunuh 41 anggota separa tentera di wilayah Kashmir yang dituntut kedua-dua negara.

Serangan udara itu menyebabkan ketegangan diplomatik, serangan balas oleh pesawat tempur Pakistan.

Satu insiden menyaksikan pesawat pejuang India terhempas dan juruterbangnya ditahan sementara oleh Pakistan.

BrahMos adalah projektil dilengkapi senjata nuklear untuk barisan hadapan India dan dipercayai antara peluru berpandu krus terpantas di dunia.

Ia boleh dilancarkan dari darat, laut atau udara.

Peluru berpandu itu - yang kepantasannya tiga kali ganda laju daripada bunyi - dibangunkan bersama oleh India dan Rusia.

Ia dinamakan sempena nama sungai di India dan Rusia, masing-masing Brahmaputra dan Moskva, di samping boleh mencapai jarak antara 300 hingga 700 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 9:42 AM