KELIBAT buaya besar membaham seekor kambing jantan milik penduduk di Sungai Ayer Salak, di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang. FOTO Ihsan pembaca
KELIBAT buaya besar membaham seekor kambing jantan milik penduduk di Sungai Ayer Salak, di Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang. FOTO Ihsan pembaca
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Selepas lebih sebulan kejadian buaya tembaga menyambar seekor kambing, penduduk Kampung Tengah, Pulau Gadong, Klebang, di sini, kembali gempar dengan kejadian serupa hari ini.

Penternak, Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah,28, berkata, dia diberitahu oleh rakan dan pekerjanya mengenai buaya dipercayai spesies tembaga membaham seekor kambing jantannya yang meragut rumput di tebing Sungai Ayer Salak, jam 6.30 petang.

"Hari ini seekor lagi kambing saya baka Boer dibaham buaya, bulan lalu (14 Mei lalu) kambing betina.

"Aduan sudah dibuat selepas kejadian termasuk gambar dan video sudah diberikan. Nampaknya buaya di sungai ini makin ganas selepas seekor berjaya ditangkap menggunakan perangkap sebelum ini.

"Saya bimbang bukan saja kambing jadi sasaran, malah ramai kanak-kanak yang bermain di berdekatan sungai ini dan juga pemancing jadi mangsa pula," katanya.

Menurutnya, sehubungan itu dia merayu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera bagi menangkap reptilia itu bagi mengelak ia terus mengancam ternakannya dan demi keselamatan penduduk.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 50 saat memaparkan buaya berkenaan muncul dari air dan menelan seekor kambing di Sungai Ayer Salak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:07 AM