Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Timbul kekecohan dalam media sosial apabila terdapat dakwaan bahawa berlakunya insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) malam tadi.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC yang difahamkan terdiri daripada kumpulan ultras.

Kejadian terbabit dikatakan bermula selepas bas dinaiki kumpulan ultras Perak dibaling batu di lebuh raya oleh tiga penyokong Selangor.

Berikutan itu, mereka kemungkinan bertindak mengejar individu berkenaan yang kemudiannya berhenti mengisi petrol di sebuah stesen minyak.

Namun, nasib tidak menyebelahi penyokong skuad pasukan Selangor itu apabila penyokong TBG sempat menangkap seorang daripada mereka.

Klip video yang viral di laman sosial X yang memaparkan kekecohan membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC, malam tadi.
Klip video yang viral di laman sosial X yang memaparkan kekecohan membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC, malam tadi.

Berikutan itu, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa ultras Perak 'menculik' penyokong Selangor kerana membawa individu berkenaan menaiki bas mereka.

Namun, terdapat maklumat lain mengatakan bahawa ultras Perak bukanlah mahu melarikan individu terbabit namun sebenarnya hanya membawa ke balai Polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Pergaduhan membabitkan kedua-dua penyokong bukanlah baharu kerana insiden sama pernah tercetus pada Disember tahun lalu di perkarangan stadium MBPJ hingga menyebabkan beberapa individu ditahan Polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 2:48 AM