Uri (India): Sebelas anggota tentera India terbunuh dalam satu serangan ke atas kem mereka di Kashmir semalam.

Seorang pegawai polis berkata, enam penyerang turut terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di kem yang terletak di Uri berhampiran kawasan yang dikawal ketat serta menjadi sempadan antara India dan Pakistan.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, kumpulan militan menyerbu kem berkenaan dengan melontar bom tangan serta melepaskan tembakan.

“Lapan askar termasuk dua pegawai, tiga anggota polis dan enam penyerang mati dalam kejadian tembak-menembak itu,” katanya.

Serangan itu dianggap antara yang paling buruk terhadap kem tentera India di Kashmir sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, tembak-menembak juga berlaku di Srinagar, bandar utama wilayah itu menjelang lawatan Perdana Menteri Narendra Modi yang dijadualkan Isnin ini.

Menurut polis, dua pejuang pemisah terbunuh dalam kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM