KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Lebuh AMJ menghala ke Rembia,  hari ini. FOTO Ihsan JBPM Melaka.
KEADAAN dua kereta yang terbabit kemalangan di Lebuh AMJ menghala ke Rembia, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Pemandu kereta Perodua Bezza yang terbabit nahas dengan sebuah lagi kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Rembia, di sini, hari ini, meninggal dunia.

Mohammad Ariffin Abdullah Thani, 33, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah (HAG), manakala tiga mangsa lain dirawat di Hospital Melaka (HM).

Nahas kira-kira jam 7 malam membabitkan kereta Perodua Bezza dipandu Mohammad Ariffin yang juga operator kilang dengan Proton Saga dinaiki tiga sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati Mohammad Ariffin memandu berseorangan dari Melaka menghala ke Alor Gajah.

Sementara, kereta Proton Saga dipandu jururawat, Nursyahida Assyura Mohamad Nor, 30, bersama adiknya perempuannya, Nursyahadah Assyura, 24, dan bayinya, Aisy Maleeqa Muhammad Nur Hafiz dari menuju ke Melaka dari Alor Gajah.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga.

"Akibat kemalangan itu Mohammad Ariffin parah di kepala dan dibawa ke HAG, manakala pemandu serta penumpang Proton Saga turut cedera dan dibawa ke HM.

"Namun, pada 9.07 malam, Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah memaklumkan pemandu Perodua Bezza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan di sini.

Ashari berkata, bedah siasat akan dijalankan dan kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk proses pemeriksaan kenderaan.

Ashari berkata, Nursyahida Assyura yang bertugas di Hospital Cyberjaya bersama bayinya, parah di kepala serta dirawat di zon merah HM, manakala adiknya Nursyahadah Assyura mengalami kecederaan pada anggota badan dan dirawat di zon kuning.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:19 AM