Iman  masih ' setia' dengan kereta kesayangannya, 'Baby Noah'.
Iman masih ' setia' dengan kereta kesayangannya, 'Baby Noah'.
Norhayati Nordin


Putrajaya: Walaupun pernah rosak teruk akibat kemalangan pada November tahun lalu, penyanyi, Iman Troye, 22, masih menggunakan kereta jenis Proton X50 miliknya itu yang dipanggil 'Baby Noah'.

Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata, dia belum berhasrat membeli kereta baru lagi kerana seluruh kasih sayangnya tetap kepada 'Baby Noah' yang selesa dipandunya untuk bergerak ke mana -mana.

"Alhamdulillah, saya tetap menggunakan khidmat 'Baby Noah' lagi dan belum beli kereta kedua pun. Okay saja bila saya pandu 'Baby Noah' tanpa rasa kurang selesa, walaupun dah rosak kerana kemalangan sebelum ini.

"Jadi, saya fikir setakat ini biarlah saya gunakan khidmat 'Baby Noah' untuk ke mana-mana saja, termasuk bekerja. Apatah lagi, 'Baby Noah' juga memiliki nilai sentimental yang tinggi kerana ia adalah kereta pertama yang saya beli," katanya.

Dalam kemalangan pada 1 November tahun lalu itu, Iman mengalami bengkak pada bahagian kaki selain kepalanya terhentak di tingkap kereta.

Terdahulu, Iman ditemui ketika hadir pada majlis anugerah Inspirasi PTTI kepada lebih 200 bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bersama pusat peningkatan akademik dan pakar itu di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Mengulas mengenai karier seninya, Iman berkata, dia bakal muncul dengan single berjudul Bunga Kemboja yang akan dilancarkan kira-kira satu atau dua bulan lagi selepas setahun tiada lagu baru.

"Saya memang merancang untuk fokus pada karier nyanyian tahun ini kerana dah setahun tidak keluar dengan lagu baharu. Single Bunga Kemboja ini sangat istimewa dan tunggukan kemunculannya nanti.

"Lagu ini sama konsepnya macam lagu Teman juga yang mana komposer dan liriknya ialah sentuhan Ezra Kong bersama A Ramlie," katanya.

Iman berharap Bunga Kemboja dapat diterima baik dan mendapat sambutan positif peminat muzik tanah air yang banyak menyokongnya selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 2:00 AM