TENTERA India berjaga-jaga di dalam sebuah bangunan selepas pertempuran di Srinagar, semalam. - AFP
TENTERA India berjaga-jaga di dalam sebuah bangunan selepas pertempuran di Srinagar, semalam. - AFP

Srinagar (India): Seorang komander pasukan separa tentera polis ditembak mati di bandar utama Kashmir manakala dua disyaki pejuang pemisah terbunuh dalam keganasan yang berlaku ketika India menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaannya.

Komander yang tidak dinamakan itu cedera dalam serang hendap dan meninggal dunia di hospital, kata seorang pegawai kanan Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF). Dua lagi anggota kritikal.

Seorang lagi pegawai berkata, dua penyerang dipercayai mati dalam tembak-menembak di Nowhatta, Srinagar, namun mayat mereka belum ditemui.

Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di sebahagian besar Kashmir - satu-satunya negeri di India yang majoriti penduduknya Muslim - sejak 9 Julai lalu susulan rusuhan selepas pembunuhan seorang komander kanan pejuang pemisah.

Jurucakap CRPF, Bhuvesh Chaudhary berkata, komander yang terbunuh semalam antara sembilan anggota separa tentera yang diserang hendap dalam dua kejadian di Nowhatta.

Katanya, satu lagi kejadian tembak-menembak berlaku beberapa kilometer dari situ, di utara bandar berkenaan.

Lebih 50 orang awam terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan, manakala ribuan lagi cedera dalam keganasan paling buruk pernah berlaku di daerah itu sejak 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 11:47 AM