TENTERA India menggunakan lastik membedil batu ketika bertempur dengan penduduk Islam Kashmir yang menunjuk perasaan membantah pihak berkuasa menyerbu rumah pemimpin pertubuhan Barisan Pembebasan Jammu Kashmir, Mohammad Yasin Malik, semalam. Pihak berkuasa India turut memburu beberapa pemimpin pertubuhan Islam Kashmir lain, termasuk Pengerusi Hurriyat, Mirwaiz Umer Farooq dan Mohammad Yasin Malik. FOTO EPA

Agensi

Islamabad/New Delhi: Pakistan menganggap India membuat cerita rekaan dan tidak bercakap benar ketika menafikan dakwaan ada militan terbunuh dalam serangan udara India dalam wilayah Kashmir tadbiran Pakistan semalam.

AFP melaporkan, Majlis Keselamatan Kebangsaan menolak dengan keras dakwaan India ramai militan terbunuh dalam akibat bom digugurkan pesawat India di Balakot, Pakistan semalam.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, berkata: “Sekali lagi kerajaan India tidak bercakap benar, cuai dan mereka-reka cerita.”

Beliau juga mengecam tindakan India itu kerana menceroboh ruang udara Pakistan.

Reuters melaporkan, India mendakwa sehingga 300 anggota militan terbunuh dalam serangan udara jet pejuangnya itu, namun Islamabad menegaskan tiada korban akibat serangan itu.

Jet penggempur India menggugurkan sekurang-kurangnya empat bom di lokasi yang didakwa kem latihan Jaish-e-Mohammed (JeM).

Kumpulan itu mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom nekad terhadap konvoi tentera India di Kashmir, menyebabkan 32 polis separa tentera terbunuh pada 14 Februari lalu.

GAMBAR oleh agensi perisikan Pakistan menunjukkan kerosakan kawasan hutan akibat bom yang digugurkan pesawat India dekat Balakot, Pakistan. FOTO Reuters
GAMBAR oleh agensi perisikan Pakistan menunjukkan kerosakan kawasan hutan akibat bom yang digugurkan pesawat India dekat Balakot, Pakistan. FOTO Reuters

Setiausaha Hal Ehwal Luar India, Vijay Gokhale berkata, ‘sejumlah besar’ militan terbunuh dalam serangan di Balakot, pekan di kawasan terpencil wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, namun tidak menyatakan jumlah sebenar.

Sumber pegawai kanan kerajaan India menyatakan kira-kira 300 militan terbunuh dalam serangan itu.

Namun, Pakistan menyatakan pesawatnya mengejar jet penggempur India yang menceroboh ruang udaranya menyebabkan pesawat musuh menggugurkan bom di kawasan hutan yang tidak menyebabkan sebarang kematian atau kerosakan besar harta benda.

“Pesawat India menceroboh dari sektor Muzaffarabad,” kata jurucakap tentera Pakistan Mejar Jeneral Asif Ghafoor melalui Twitter, merujuk kawasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Stesen televisyen India melaporkan serangan udara itu dilakukan pada jam 3.30 pagi waktu tempatan.

Menurut Ghafoor, tindakan pantas Tentera Udara Pakistan menyebabkan jet India tergesa-gesa menggugurkan bom ketika melarikan diri yang jatuh berdekatan Balakot.

“Tiada kematian atau kerosakan,” katanya.

Balakot terletak 50 kilometer dari LoC iaitu garisan gencatan senjata yang menjadi sempadan Kashmir India-Pakistan.

Isu Kashmir mengheret kedua-dua negara berperang sebanyak tiga kali sejak 1947.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:35 AM