ASKAR India tiba di pangkalan tentera yang diserang pemberontak di Uri. - AP
ASKAR India tiba di pangkalan tentera yang diserang pemberontak di Uri. - AP
AFP

Srinagar (India): Pemberontak bersenjata membunuh 17 askar dalam serbuan awal pagi semalam di pangkalan tentera India di Kashmir dalam serangan terburuk seumpamanya sejak beberapa tahun lalu.

Kumpulan pemberontak bersenjatakan bom tangan dan senapang automatik itu menyerang ibu pejabat briged tentera yang menempatkan ratusan askar di Uri, berhampiran sempadan Pakistan, kata askar yang enggan namanya didedahkan.

Katanya, empat pemberontak maut manakala khemah dan tempat perlindungan sementara askar juga terbakar.

“Pertempuran menyebabkan 17 maut dan kami menyanjungi pengorbanan mereka yang menggadaikan nyawa,” katanya.

Askar yang cedera diterbangkan ke hospital tentera di Srinagar.

Serangan itu yang terburuk sejak beberapa tahun ini. Pemberontakan bersenjata di wilayah itu yang menentang pemerintahan India tercetus pada 1989.

Pada Disember 2014, pemberontak menyerang kem askar di Uri menyebabkan 11 tentera dan polis terbunuh.

Sekurang-kurangnya 87 orang awam mati dan ribuan cedera dalam rusuhan menentang pemerintahan India susulan pembunuhan ketua pemberontak popular pada 8 Julai lalu.

Sementara itu, kerajaan India menuduh Pakistan bertanggungjawab.

Leftenan Jeneral Ranbir Singh berkata, cara serangan sama seperti dilakukan militan Pakistan, Jaish-e-Mohammed.

“Bukti menunjukkan mereka orang asing dan peralatan digunakan nampaknya dari Pakistan,” katanya.

Perdana Menteri Narendra Modi menyelar kejadian itu sebagai serangan pengecut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 8:07 AM