SABITZER (tengah) akui fokusnya hanya terarah kepada Euro sekarang. FOTO AFP
SABITZER (tengah) akui fokusnya hanya terarah kepada Euro sekarang. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Marcel Sabitzer memasuki kem Euro 2024 Austria selepas tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah bersama Borussia Dortmund ketika menentang Real Madrid tetapi pemain tengah itu berkata semuanya sudah dilupakan sekarang kerana dia fokus untuk membawa negaranya ke pusingan 16 terakhir.

Austria, yang akan menentang Belanda dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, tewas kepada Perancis 0-1, tetapi meraih kemenangan 3-1 ke atas Poland hasil usaha Sabitzer dan rakan tengahnya, Christoph Baumgartner.

Kemenangan ke atas Belanda di Berlin Rabu ini boleh menyaksikan Austria menduduki tempat teratas atau kedua dan malah kekalahan akan memberikan mereka peluang yang baik untuk mara sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.

Sabitzer berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Saya tahu itu dari Liga Juara-Juara Eropah, terutamanya musim ini. Sebaik sahaja anda berlari dalam fasa kalah mati, apa sahaja boleh berlaku jadi perkara yang paling penting ialah untuk melepasi peringkat kumpulan dan ke pusingan 16 dan kemudian kita akan lihat apa yang berlaku seterusnya," tambahnya.

Pemain berusia 30 tahun itu menambah bahawa dia mengambil sedikit masa untuk melupakan kekalahan 0-2 kepada Real Madrid tetapi dia kini kembali menunjukkan prestasi terbaiknya di bawah jurulatih Austria Ralf Rangnick, yang lebih menggalakkan dia menggunakan rembatan kuatnya.

"Saya berasa sangat kecewa (selepas perlawanan akhir), saya rasa anda boleh melihatnya. Saya mengambil sedikit masa dan sekarang saya mempunyai kekuatan dan keinginan untuk benar-benar menyerang," kata Sabitzer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:37 AM