Oleh Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman akan menempatkan pegawai dan anggota terlatih terutamanya di kawasan sempadan Thailand bagi menghapuskan kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kekuatan pasukan elit berkenaan untuk mengesan setiap pergerakan penyeludupan dadah yang berlaku di sempadan.

"Setakat ini, STING mempunyai seramai 150 anggota terlatih yang berupaya mengesan dan memintas kegiatan berkaitan dadah.

"Selain itu, STING akan terus bekerjasama dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terutamanya membantu setiap kontinjen untuk menghapuskan sarang dadah di setiap negeri," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus asas STING di Pusat Latihan Polis di sini, tadi.

Beliau berkata, hubungan STING dengan orang ramai juga akan dipertingkatkan bagi mendapatkan maklumat supaya lebih banyak kejayaan tangkapan berkaitan dadah dapat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:07 PM