KERETA Perisai Sankey AT 105 yang digunakan untuk memantau pergerakan musuh di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KERETA Perisai Sankey AT 105 yang digunakan untuk memantau pergerakan musuh di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak menolak kemungkinan ada warga tempatan bersekongkol bersama sindiket dari negara jiran bagi melakukan kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, biasanya penduduk tempatan yang mahir selok-belok lorong tikus akan membawa barangan seperti ketum dan dadah sebelum diletak di suatu lokasi berdekatan tembok sempadan.

Katanya, kumpulan penyeludup warga asing kemudian akan masuk ke kawasan Malaysia bagi mengambil barangan terbabit dan dibawa menyeberang sempadan.

"Berikutan itu, kita sudah mengarahkan setiap ketua pos kawalan supaya mengenal pasti lorong tikus supaya kawalan serta rondaan dapat dipertingkatkan.

"Kita turut mendapati penyeludup mengambil kesempatan waktu antara tengah malam hingga awal pagi untuk melakukan kegiatan mereka," katanya ketika ditemui di jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, hari ini.

Abdul Ghani berkata, bagi memastikan keselamatan sempadan, pihak Bukit Aman sudah menempatkan tiga pasukan kereta perisai, unit berkuda dan bantuan pemantauan udara menggunakan helikopter dan dron.

"Setakat ini enam kuda sudah digunakan untuk pemantauan sekitar kawasan sempadan selain dibantu pasukan Komando 69 (VAT69) serta anggota infantri PGA.

"Selain di darat, kita juga mengesan kegiatan penyeludupan aktif di sempadan laut terutamanya di perairan Batu Putih dan Pulau Ketam di Perlis," katanya.

Kelmarin, negara dikejutkan dengan kejadian serangan membabitkan penyeludup ketum ke atas dua anggota PGA pada jam 3.10 pagi menyebabkan kematian Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkena dua das tembakan pada dada dan perut.

Turut parah seorang lagi anggota PGA, Sarjan Norihan Tari, 39, yang terkena tembakan pada kanan perut.

Sebelum itu, dua anggota PGA yang bersenjatakan pistol Walther P99 sempat melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah penyeludup menyebabkan tiga daripada mereka cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 9:15 PM