Mohd Mokhtar menunjukkan alat ganti yang digunakan untuk mengisi dadah.
Mohd Mokhtar menunjukkan alat ganti yang digunakan untuk mengisi dadah.

Kuala Lumpur: Sembunyi syabu dalam alat ganti radiator. Itu taktik digunakan satu sindiket membabitkan warga Taiwan sebelum ditahan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Jumaat lalu.

Dadah berkenaan ditemui disimpan dalam 10 kotak berisi alat ganti yang dianggarkan bernilai RM3 juta berdasarkan harga pasaran.

Dalam operasi jam 10.40 malam, lapan lokasi diserbu di Jalan Bukit Bintang dan Petaling Jaya hasil siasatan serta perkongsian maklumat daripada Kementerian Biro Siasatan Keadilan Taiwan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki tempatan berusia 44 dan 52 tahun di Jalan Bukit Bintang dipercayai cuba mengedar dadah.

Katanya, tangkapan itu membawa kepada serbuan di hotel di kawasan berhampiran dan menahan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga warga Taiwan berusia antara 24 hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel, polis menemui serbuk kristal dipercayai syabu dengan berat 42.5 kilogram dalam kotak berisi alat ganti radiator.

“Polis menyita harta bernilai RM98,000 membabitkan mata wang asing, sebuah Mercedes Benz dan barang kemas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga 25 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek warga Taiwan itu didapati masuk ke negara ini secara sah dan mempunyai dokumen perjalanan lengkap.

Mokhtar berkata, siasatan mendapati dadah diseludup itu untuk pasaran tempatan dan dieksport ke negara jiran.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama JSJN dan Kementerian Biro Siasatan Keadilan Taiwan dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.

“Bayangkan saja, dadah seberat 42.5 kilogram ini boleh digunakan 212,000 penagih, apa akan jadi kepada masa depan negara sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa luar untuk mengekang jenayah dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:33 AM