Hadzlihady Hassan


Georgetown: Suami isteri yang merompak kedai emas di Jalan Teck Soon, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, awal bulan lalu berjaya ditahan polis di Seberang Perai Tengah, 9 September lalu.

Pasangan terbabit yang berusia 43 dan 31 tahun itu ditahan selepas polis melakukan risikan dan menerima maklumat orang awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Razaruddin Husain berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu mendakwa mereka merompak disebabkan mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk dua gelang emas dan sekeping surat jual beli emas.

"Pasangan terbabit kini masih lagi direman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 1 September lalu, lelaki dan wanita yang bersenjatakan kapak mengambil masa kurang daripada seminit untuk melarikan barang kemas bernilai RM12, 000.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan susulan daripada itu polis melancarkan operasi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 4:49 PM