GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


SUAMI isteri dari Kampung Pasir Panjang di Kuala Terengganu, yang ditahan kerana didakwa tidak membayar gaji serta memukul pembantu rumah warga Indonesia mendakwa membantu menyimpan wang berkenaan dan bukan sebaliknya.

Pasangan berusia 40-an itu ditahan jam 6.45 petang, Isnin lalu, hari sama mangsa yang berumur 35 tahun membuat laporan berkaitan kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sumber berkata, selepas merekodkan keterangan mangsa, polis bergegas ke rumah pasangan terbabit.

"Ketika soal siasat, pasangan itu mengaku menggaji mangsa sejak Disember tahun lalu dengan bayaran RM1,000 sebulan.

"Pasangan itu mendakwa bukan tidak mahu menyerahkan gaji sebaliknya memaklumkan gaji berkenaan disimpan kerana mahu membantu mangsa membuat simpanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami isteri terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 3:22 PM