MANGSA yang diselamatkan polis. Foto ihsan Polis
MANGSA yang diselamatkan polis. Foto ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Polis Pulau Pinang menyelamatkan imam warga Bangladesh yang diculik dan dikurung empat warga Myanmar di pangsapuri di Gelugor, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 2 petang tadi, empat warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita turut ditahan untuk siastan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain berkata, imam berusia 46 tahun itu diculik Rabu minggu lalu di Stesen Bas Butterworth.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa serta rakannya yang tinggal di negara ini dan meminta wang tebusan berjumlah RM125,000.

"Mangsa datang ke negeri ini untuk melancong dan dia berada di stesen bas terbabit kerana mahu ke Kuala Lumpur.

"Ketika berada di stesen bas itu, suspek mendekati mangsa dan berpura-pura berbual sebelum beberapa rakannya datang menarik mangsa ke dalam kereta," katanya.

Menurut Razaruddin, hasil maklumat dan juga risikan, polis menjejaki suspek dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Razaruddin berkata, mangsa adalah seorang imam di masjid di kampungnya dan ini adalah kali ketiga dia datang melancong ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 3:45 PM