Hadzlihady Hassan


Georgetown: Hanya bersenjatakan kapak, seorang lelaki dan seorang wanita mengambil masa kurang seminit melarikan barang kemas bernilai RM10,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Teck Soon, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, kedua-dua mereka meluru masuk ke dalam premis berkenaan dan suspek lelaki yang memegang kapak dibalut kertas surat khabar memecahkan kaca pameran barang kemas.

Ketika itu, suspek wanita yang membawa beg galas mengambil barang kemas sebelum kedua-dua mereka melarikan diri dengan motosikal Honda EX-5.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek lelaki berbaju putih, berseluar gelap dan memakai topi keledar putih membawa sebilah kapak berbalut akhbar diletakkan di bahunya.

Suspek wanita pula dilihat memakai topi keledar, berjaket, jean biru serta sarung tangan oren selain turut menggalas sebuah beg.

Difahamkan, ketika kejadian keadaan di kawasan terbabit agak sibuk dengan kenderaan dan orang ramai yang melintas jalan menuju ke KOMTAR kerana premis berkenaan terletak berhampiran laluan utama.

Dua suspek terbabit dikatakan mengambil kesempatan keadaan yang agak sibuk itu untuk melakukan kegiatan jahat mereka dan ketika itu hanya tiga pekerja berada di kedai emas berkenaan.

Walaupun orang ramai berada sekitar kawasan terbabit, kedua-dua suspek itu langsung tidak gentar, malah suspek lelaki sempat mengacu kapak kepada beberapa lelaki yang berada berhampiran premis berkenaan untuk menakutkan mereka.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, setakat ini polis sedang mengesan kedua-dua suspek berkenaan dan meneliti rakaman CCTV.

“Kita meminta orang ramai melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 10:27 AM
ANGGOTA polis unit forensik memeriksa kedai emas yang dirompak, petang semalam.
ANGGOTA polis unit forensik memeriksa kedai emas yang dirompak, petang semalam.