Hadzlihady Hassan


Georgetown: Polis menemui barang kemas bernilai RM400,000 yang disembunyikan di bawah katil di rumah seorang lelaki yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dia dirompak dua lelaki bersenjatakan pistol di Jalan Solok Tengku, Jelutong, di sini, Selasa minggu lalu.

Berikutan itu, lelaki berusia 47 tahun terbabit yang juga pembekal barang kemas kini ditahan bagi membantu siastan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Razaruddin Hussain berkata, polis berjaya menemui kembali dan merampas 46 cincin emas, lapan rantai dan dua gelang yang disimpan bawah katil di rumah lelaki berkenaan di Jelutong.

"Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut dan suspek masih direman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selasa minggu lalu, suspek membuat laporan polis mendakwa dia dirompak ketika membawa barang kemas terbabit untuk dibekalkan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, dia direman selama seminggu kerana laporan dibuatnya itu meragukan dan siasatan lanjut polis mendapati suspek menyimpan barang kemas terbabit di bawah katil rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 4:54 PM