TOPENG dan beg yang mengandungi kapak, pisau dan pengikat kabel yang ditemui dalam kereta suspek. FOTO Agensi
TOPENG dan beg yang mengandungi kapak, pisau dan pengikat kabel yang ditemui dalam kereta suspek. FOTO Agensi
Agensi

London: Dua beradik di United Kingdom (UK) bertindak licik apabila berpakat merompak sebuah kedai barang kemas dan melarikan diri dengan jam tangan Rolex bernilai 15,000 Pound Sterling (kira-kira RM80,055)

Portal sky news melaporkan, bagi menyempurnakan misi rompakan itu, mereka menyamar sebagai lelaki warga emas dengan memakai topeng lateks yang nampak hidup dan pelitup muka bagi menyembunyikan identiti sebenar.

Malangnya, kegiatan mereka itu terbongkar selepas meninggalkan topeng berkenaan di dalam but kereta.

Beberapa minggu selepas rompakan itu, seorangnya daripadanya, George Murphy-Bristow, 37, ditahan polis ketika memandu.

Di dalam kereta itu terdapat dua topeng muka, mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) adik beradik itu, bersama beg yang mengandungi kapak, pisau dan pengikat kabel.

Hasil pemeriksaan forensik air liur dalam topeng mengaitkan adik-beradik itu dengan rompakan, Murphy-Bristow dan abangnya Benjamin Murphy, 28, ditangkap secara berasingan.

Mereka melakukan rompakan di kedai emas di Epping High Street pada 27 September 2021.

Dua beradik itu masuk ke premis dengan mengugut kakitangan.

DUA beradik berpakat merompak kedai emas (gambar kanan), Benjamin Murphy (gambar atas) dan George Murphy-Bristow (gambar bawah). FOTO Agensi
DUA beradik berpakat merompak kedai emas (gambar kanan), Benjamin Murphy (gambar atas) dan George Murphy-Bristow (gambar bawah). FOTO Agensi

Sebaik masuk ke dalam premis, mereka mengikat kabel seorang kakitangan ke kerusi dan mencuri Rolex dari pergelangan tangan mereka.

Sambil mengacukan pisau dan kapak, pasangan itu menggeledah kawasan kakitangan sebelum penggera dibunyikan.

Mereka kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletakkan di luar.

Berikutan kesalahan itu, dua beradik berkenaan didakwa di Mahkamah Mahkota Basildon dan dibicara selama tiga hari.

George didapati bersalah merompak dan dua pertuduhan memiliki senjata serta dijatuhi hukuman penjara 18 tahun.

Manakala, Benjamin disabitkan atas kesalahan merompak, dua pertuduhan memiliki senjata dan memandu dengan peralatan untuk mencuri serta dipenjarakan selama 13 tahun.

Kedua-dua adik-beradik itu menafikan mereka terbabit dalam rompakan itu ketika pertama kali hadir di Mahkamah Majistret Southend-on-Sea pada Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 4:16 PM