Nurul Husna Mahmud

Lontaran suara silih berganti mengikut aras not menggabungkan lebih 30 penyanyi koir ‘chamber’ Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika sesi latihan kelab berkenaan memaparkan bakat sungguh luar biasa.

Reputasi kumpulan koir itu berjaya memenangi kejohanan nyanyian peringkat antarabangsa harus dikagumi. Lihat ketekunan mereka meneliti skrol selain setia memerhati konduktor mahupun jurulatih menggerakkan tangan ‘memandu’ simfoni agar harmoni mengikut melodinya.

Justeru tidak hairanlah kumpulan koir ini menceburi aliran global apabila dipelawa menyertai pertandingan dunia di Republik Czech sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Bakat luar biasa

Menurut Pengarah UiTM Chamber Choir, Dr Masashi Kishimoto, hakikatnya penyanyi kendaliannya terdiri daripada bakat baru dan mempunyai pengalaman tidak sampai setahun dalam pertandingan koir.

Namun keghairahan serta bakat suara pemilik paduan 30 suara itu membuatkan mereka tidak gentar beraksi di pentas dunia seperti Pertandingan Koir Dunia di Republik Czech.

“Sepanjang melatih kumpulan ini saya dapati mereka mempunyai bakat unik selain memerlukan pelatih berpengalaman mengajar mereka teknik nyanyian yang baik.

“Meskipun suara dimiliki setiap mereka pada aras suara berbeza, kaedah betul dari segi susunan melodi mahupun pilihan lagu membantu serlahkan bakat mereka.

“Cabaran buat saya mempersiapkan mereka berentap dengan pesaing bertaraf dunia, memerlukan usaha banyak selain komitmen mereka konsisten dengan latihan.

“Mereka masih pada tahap ‘bertatih’ kerana ada sebahagian belum menguasai penuh mengenai kawalan suara. Namun, lihat sikap mereka sangat sukakan koir memudahkan usaha saya.

“Saya masih ingat pada awal saya melatih mereka, sebahagian besar tidak boleh membaca skrol apatah lagi untuk capai not tinggi.

“Mereka sedar dan mula berlatih siang dan malam termasuk mengorbankan cuti hujung minggu di bilik muzik ini. Menariknya meskipun baru empat ke enam bulan menyanyi, rekod persembahan mereka ketika menyertai pertandingan sangat berjaya,” katanya.

Mahu pulang dengan sesuatu

Beban dan tanggungjawab besar menyertai pertandingan koir di Eropah dilihat sebilangan pihak luar bagaikan misi mustahil, namun pembimbing yang berasal dari negara matahari terbit itu tetap optimis.

“Perjalanan jauh dan membawa kumpulan besar tentu saja, kami mengharapkan kemenangan. Selain itu seperti suntikan bonus bagi saya, pelajar dapat merasai sendiri pengalaman menyanyi di pentas dunia mematangkan persembahan mereka secara tidak langsung,” katanya.

Tambahnya, dia terharu apabila pihak UiTM memperuntukkan RM200,000 untuk mengurangkan beban perbelanjaan di sana. Kishimoto juga berterima kasih dengan sokongan padu Ketua Jabatan, Dr Ramona yang bekerja keras mendapatkan penajaan ke kejohanan berkenaan.

Rasa bangga

Bagi penyanyi Heidi Vanessa Maruning, 22, yang menyertai pasukan koir ini hujung tahun lalu, dia sungguh berbesar hati dapat mewakili UiTM malah negara pada kejohanan terbabit.

“Tidak semua pelajar sebaya saya mendapat kesempatan mengharumkan nama negara, jadi ia perkara yang memberi kesan sangat mendalam kerana diberi kesempatan itu.

“Apabila menggunakan saluran ini, antara bidang diminati membuatkan saya bertambah semangat untuk mempersembahkan. Namun terselit juga rasa berdebar kerana kita bersaing dengan penyanyi bertaraf dunia,” katanya.

Tanggungjawab besar

Muhamad Amirul Abdul Hamid sukar mengungkapkan perasaannya apabila dia serta rakannya akan terbang lebih 22 jam untuk membuat persembahan di satu tempat asing.

Katanya, di sana dia menyaksikan persembahan peserta antarabangsa selain memainkan peranan ‘duta kecil’ memperkenalkan Malaysia di benua asing.

“Kami tidak mengeluh mahupun berasa penat menyanyi kerana tanggungjawab kami sangatlah besar iaitu mengharumkan nama UiTM mahupun negara di sana dengan keindahan harmoni kami.

“Ketika ini kami bersiap sedia menyanyi lebih 18 lagu dan ada lagu rakyat memaparkan ciri budaya Malaysia, terutama Rasa Sayang. Kami mahu mereka nikmati kemerduan serta keindahan lagu tradisional yang kita ada.

“Bidang serta peluang diperoleh kami ialah menerusi bakat suara di Republik Czech ini tidak akan kami persesiakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:03 AM