AZNIL dan Ernie
AZNIL dan Ernie
Ardini Sophia Sina


INDUSTRI seni tanah air tidak pernah sunyi dengan penganjuran pertandingan nyanyian tidak kiralah sama ada daripada stesen televisyen mahupun syarikat rakaman yang ingin mencari bakat baharu.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang melihat usaha yang dilakukan itu hanyalah membawa keburukan kerana terjadinya lambakan penyanyi.

Tambahan pula, pada masa kini, penggunaan media sosial digunakan dengan maksimum hingga ada sesetengah pendatang baharu bakatnya dilihat hanya menerusi video nyanyiannya di media sosial.

Bagaimanapun, perlu kita faham pertandingan itu adalah landasan terbaik bagi individu menunjukkan bakat. Jika digunakan dengan betul, ia dapat membantu membina kerjaya.

Datuk Aznil Nawawi (Pengacara)

“Kalau bukan stesen televisyen yang anjurkan pertandingan, ada banyak lagi penganjur luar yang mengadakan aktiviti sama.

Saya rasa itu perkara baik kerana diberikan landasan untuk individu berbakat tunjukkan kebolehan mereka.

Apabila landasan sudah diberikan, peserta perlu memberikan 100 peratus komitmen dan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya.

Andai mereka tidak berada pada tahap seperti diharapkan, orang ramai tidak boleh salahkan penganjur.

Mungkin ia berpunca daripada peserta itu sendiri dan rezeki juga belum tiba. Ramai selebriti yang mengambil masa lama sebelum berada pada puncak kerjaya. Rezeki setiap orang itu berbeza-beza.

Pada saya, pertandingan pencarian bakat baharu ini masih relevan. Menyanyi di media sosial tidak sama dengan pertandingan di pentas. Suasana dan pengalaman itu pasti berbeza.

Saya percaya pertandingan seperti ini masih ada gunanya. Pelapis muda inilah yang akan terus mewarnai dunia seni.”

Ernie Zakri (Penyanyi)

“Menyanyi di media sosial dan di pentas dua perkara berbeza. Suasana juga lain. Keadaan sekeliling juga tidak sama ketika menyanyi seorang diri di dalam bilik.

Rasanya, semua orang boleh rakam lagu dan kongsi di media sosial tetapi tidak ramai mampu berdiri di atas pentas dan menghiburkan orang ramai.

Untuk jadi penyanyi yang baik tidak hanya perlukan suara atau vokal bagus tetapi juga keyakinan dan emosi untuk dikongsikan kepada pendengar. Perlu fokus dan ada keberanian.

Setiap lagu itu mempunyai aura dan rasa berbeza. Ia harus disampaikan kepada penonton tidak hanya menerusi lirik, suara tetapi juga persembahan secara keseluruhannya.

Saya rasa program seperti ini masih relevan kerana membantu individu berbakat mencapai impian mereka menjadi penyanyi.

Menerusi pertandinganlah dapat menguji mereka sama ada layak berada dalam industri atau sebaliknya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:10 AM