Shah Alam: Kumpulan koir Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuktikan keunggulan apabila merangkul tiga anugerah pada Festival dan Pertandingan Koir Antarabangsa Kalamata, Greece 2017, baru-baru ini.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, kumpulan berkenaan memenangi dua kategori, selain turut muncul juara keseluruhan pada pertandingan yang berlangsung dari 11 hingga 15 Oktober lalu.

“UiTM bertanding dalam dua kategori iaitu Koir Campur yang disertai UiTM Chamber Choir (UCC) dan kategori Koir Wanita yang disertai UiTM Women’s Chorale (UWC) seterusnya berjaya menjadi juara dalam kedua-dua kategori itu.

“Mereka bukan saja membanggakan UiTM, malah turut mengharumkan nama negara kerana kita yang pertama dari negara ini membuat persembahan di Kalamata dan memenangi hadiah utama,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, kemenangan amat bermakna itu dicapai melalui kerja keras dan tekad, sekali gus membuktikan UiTM mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa walaupun sebagai sebuah universiti awam.

Sementara itu, pensyarah dan konduktor UCC Masashi Kishimoto berkata, ramai penuntut fakulti muzik universiti awam itu berbakat dalam bidang koir kerana memiliki suara unik.

“Nada suara mereka sedap dan saya mengambil masa kira-kira enam bulan untuk memilih lagu bersesuaian kerana jika lagu yang dipilih tidak bersesuaian dengan suara, sukar untuk menang,” katanya.

Katanya, kejayaan yang diperoleh UCC mampu membuka lebih peluang kepada kumpulan koir universiti awam itu untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 4:19 AM