GORGEOUS Mom sudah jangka tersingkir apabila terima undian paling rendah pada minggu pertama Super Karoks.
GORGEOUS Mom sudah jangka tersingkir apabila terima undian paling rendah pada minggu pertama Super Karoks.
Rudy Imran Shamsudin

Program realiti nyanyian duet pertama di radio, Super Karoks yang bermula dua minggu lalu memperlihatkan Gorgeous Mom yang dianggotai Amelina dan Raja Ema menjadi kumpulan pertama tersingkir.

Penyingkiran yang diumumkan petang Khamis lalu menyaksikan kumpulan AM dianggotai Maya Matahari dan Ayai Ilusi mendahului dengan undian 29% diikuti Hey Ladies (Intan Sarafina dan Elyana) 24%, Lazat (Rahmat Mega dan Ezat Lazim) 23%, Mak Anak (Norshila Amin dan Farahdhiya) 22% manakala Gorgeous Mom hanya menerima 4%.

Amelina ketika dihubungi Jumaat lalu mengakui penyingkiran itu sudah dijangka dari awal apabila mereka menerima undian paling rendah pada minggu pertama ketika menyampaikan lagu Kau Kunci Cintaku (Ramlah Ram) manakala minggu kedua menyampaikan Ku Pendam Sebuah Duka (Datuk Khadijah Ibrahim).

Katanya, mereka sedikit pun tidak kecewa kerana sejak awal membabitkan diri dalam program yang kali pertama diadakan Kool FM itu, tidak melihatnya sebagai pertandingan serius.

“Sewaktu dipelawa menyertai Super Karoks, pihak Kool FM menyatakan pertandingan itu dibuat untuk suka-suka.

“Cara pertandingan itu dijalankan juga dibuat tanpa persediaan sebagaimana pertandingan besar. Kalau tidak, tentulah saya dan Raja Ema berasa tertekan sehingga harus melakukannya bersungguh-sungguh.

“Sebaliknya ia dibuat secara santai dan main-main menyebabkan saya tidak terlalu memikirkannya sangat. Kalau ia dibuat beriya-iya, saya mungkin akan rasa gerun dan membuat persiapan lebih rapi setiap kali bertanding.

“Seperkara lagi, lagu yang diberikan juga harus dinilai dari sudut kesesuaian dan juga nada suara. Lagu yang dipilih penganjur juga ada yang saya dan Raja Ema tidak pernah berpengalaman membawanya,” katanya.

Penyanyi dikenali melalui lagu dangdut itu turut mengakui kemampuan vokalnya mahupun Raja Ema agak terhad. Sebagai penyanyi, mereka mempunyai cara penyampaian tersendiri.

“Macam saya, memang dari dulu lagi kalau menyanyi lagu orang, saya akan mendendangkannya mengikut cara dan gaya saya sendiri tetapi pendengar Kool FM mahu kami menyanyi seperti penyanyi asal. Saya dan Raja Ema bukan penyanyi stereotaip yang boleh ikut dan tiru suara penyanyi asal.

“Pendengar juga berasakan pertandingan Super Karoks seperti Gegar Vaganza hingga ramai memberi komen. Ingin saya jelaskan salah tanggapan mereka. Menerusi pertandingan seperti Super Karoks ini, macam mana pun saya menyanyi dan lagu siapa pun yang saya dendangkan, saya tetap akan ikut cara dan gaya nyanyian saya,” katanya.

Mengenai pandangan teman duetnya apabila mereka tersingkir, kata Amelina seawal membabitkan diri lagi Raja Ema menegaskan dia sudah lama cuci tangan membabitkan bidang nyanyian apatah lagi apabila hendak bertanding.

“Raja Ema juga menyertai Super Karoks kerana mahu berseronok dan pertandingan ini pun berlangsung dalam suasana santai. Kerana sibuk dengan lakonan, sesi latihan tidak dapat dilakukan dengan kerap.

“Begitupun, Raja Ema memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan persembahan kami setiap minggu,” katanya.

Amelina juga akui lagu diberikan penganjur sangat mencabar hingga membuatkan dia mahupun Raja Ema mencari jalan untuk memastikan persembahan mereka baik. Ini termasuklah dengan mengubah nada lagu mengikut kemampuan vokal.

“Bayangkan pada minggu pertama kami diberi lagu Kau Kunci Cinta Ku. Kalau ikut asal, nada tingginya kalau salah bawa boleh jadi menjerit.

“Untuk menyelamatkan keadaan, saya cuba mengubah gaya nyanyian seperti menyanyi lagu Hindustan agar tidak kedengaran sumbang dan tak putus.

“Sebagai penyanyi, kita harus bijak dan saya menerapkan teknik nyanyian saya. Begitupun, ada pendengar tidak faham. Kebanyakan pendengar berasakan kalau kita dapat tiru cara penyanyi asal penyampaian dengan nada tinggi itu bagus.

“Melihat daripada maklum balas diterima, saya sudah menyatakan kepada Raja Ema bahawa Gorgeous Mom tidak akan bertahan lama,” katanya.

Melihat daripada persembahan peserta Super Karoks, Amelina akui kumpulan Mak Anak mempunyai kelebihan daripada sudut undian peminat.

“Kalau dari segi vokal, rasanya kumpulan AM lebih menonjol. Dari sudut ‘happening’ pula dan orang dah lama tidak tengok mereka menyanyi adalah kumpulan Hey Ladies kerana mereka memang mempunyai tarikan tersendiri.

“Sementara kumpulan Lazat, mereka masih aktif dalam industri menyebabkan suara mereka diasah setiap hari. Ia menjadi ruang terbaik untuk memberikan nyanyian memukau. Hendak diikutkan, semua peserta mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.

Untuk minggu ketiga dan juga akhir, mereka akan memulakan perjuangan esok dan keputusan diumumkan pada 12 Ogos ini untuk menentukan juara. Hadiah untuk juara ialah RM15,000, kedua (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:06 AM