ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat  Lipis mengeluarkan  mangsa wanita yang maut selepas terbabit  dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lipis-Merapoh (Lebuhraya Central Spine Road), di Lipis. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Lipis mengeluarkan mangsa wanita yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lipis-Merapoh (Lebuhraya Central Spine Road), di Lipis. FOTO Ihsan Bomba
Roselan Ab Malek


WANITA terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Lipis, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 pagi, pemandu kereta Nissan Almera, Haszlan Hashim, 34, cedera manakala ibu mentuanya, Khatijah Awang, 53, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Besut, Terengganu sedang dalam perjalanan ke Raub, dikatakan merempuh bahagian belakang lori tiga tan yang berhenti di bahu jalan.

“Pemandu kereta berkenaan (Haszlan) dikatakan tidak menyedari ada kenderaan berat yang rosak di bahu jalan pada jarak yang dekat.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kanan belakang lori terbabit,” katanya ketika dihubungi di Lipis, hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, Khatijah yang berada di sebelah kiri tempat duduk penumpang parah akibat tersepit.

“Siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan kayu itu berada di bahu jalan akibat tayar belakangnya pecah dan satu penanda segitiga diletakkan 10 meter daripada jarak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau menasihati pengguna jalan raya agar memandu berhati-hati pada waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 12:45 PM