Haspaizi dirawat di HOSHAS.
Haspaizi dirawat di HOSHAS.

Temerloh: Bekas wartawan Berita Harian (BH), Haspaizi Mohd Zain, 33, yang parah selepas kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 30, Jalan Lipis-Merapoh dekat Lipis, awal pagi semalam, dilaporkan stabil.

Isterinya, Noorulnadia Abdullah, 34, berkata, suaminya perlu menerima rawatan dan pemerhatian rapi dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

“Dia cedera teruk di rahang, tulang hidung, bibir serta mata selain demam,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Noorulnadia berkata, ketika kejadian, dia dan Haspaizi bersama lima anak mereka menuju ke kediamannya di Kepong selepas pulang ke kampung di Kelantan.

Guru itu berkata, ketika kejadian, suaminya kurang sihat dan dia memandu MPV jenis Proton Exora itu.

“Kami pulang ke kampung di Kelantan pada Sabtu lalu kerana mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan.

“Kami bertolak pulang tengah malam tadi (semalam) kerana anak dan saya perlu bersekolah hari ini,” katanya.

Menurutnya, dia gagal memotong lori berikutan penglihatan tidak jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 6:53 AM