Kuala Lumpur: Status selaku juara Piala FA dan Piala Malaysia musim ini meyakinkan Pahang untuk beraksi cemerlang di peringkat kumpulan Piala AFC 2015 seterusnya mencapai sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Pahang yang diundi dalam Kumpulan G bersama South China (Hong Kong), Global FC (Filipina) dan Yadanarbon FC atau Yangon United (Myanmar) yakin mereka mampu melepasi peringkat kumpulan seterusnya mara ke saingan kalah mati.

Penolong pengurus Mohd Fahrizal Hasan berkata, pasukan pilihan untuk Kumpulan G sudah tentu South China dan mereka akan cuba mengenepikan dua lagi pasukan lain bagi mencari slot dua pasukan terbaik.

“Ketiga-tiga pasukan dari Asia Tenggara, termasuk kami mempunyai corak permainan sama. Peluang ke pusingan seterusnya agak cerah berdasarkan prestasi tahun ini,” katanya selepas Majlis Undian Piala AFC 2015 semalam.

Ditanya sama ada mereka mampu menyesuaikan diri dengan saingan domestik, Fahrizal berkata, mereka akan cuba memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain baru.

“Ia akan memberikan tenaga tambahan. Kami akan lihat jadual Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ini.

“Yang pasti kami akan membawa masuk dua pemain baru dari skuad Piala Presiden termasuk Mohd Rizuan Shafiqi Kamarulzaman. Mereka juga akan didedahkan dalam saingan Piala AFC.

“Kami juga mempunyai pemain baru D Saarvindran dan Gary Steven Robbat yang berpengalaman beraksi di liga luar negara seperti di Australia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 6:53 AM