RAZMAN (kanan) mengetuai latihan pasukan Pahang menjelang pertemuan dengan Yadanarbon FC.
RAZMAN (kanan) mengetuai latihan pasukan Pahang menjelang pertemuan dengan Yadanarbon FC.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Kapten Pahang Mohd Razman Roslan meminta semua rakan sepasukan mengerah segala kudrat bagi memastikan mereka mengatasi Yadanarbon FC pada saingan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Pemain pertahanan itu berkata, Pahang perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam usaha mengutip tiga mata sekali gus mencerahkan peluang melangkah ke pusingan kedua.

“Saingan Kumpulan G masih terbuka dan kemenangan bakal menjamin tempat ke pusingan kedua yang turut menjadi idaman Yadanarbon FC (Myanmar) dan Global FC (Filipina).

“Namun, kami tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kerana tumpuan utama adalah memastikan misi meraih kemenangan menjadi kenyataan. Untuk itu, kami mengharapkan sokongan peminat setia Tok Gajah,” katanya.

Selepas empat perlawanan, Pahang mengutip empat mata manakala Yadanarbon FC, tiga mata.

Sementara itu, jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan mahu pemain bijak memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan.

Katanya, hanya tiga mata akan menentukan sama ada Pahang terus bersaing dalam saingan berprestij itu memandangkan Yadanarbon FC turut berpeluang jika menewaskan tuan rumah.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika boleh saya mahu membawa Pahang melangkah sejauh mungkin pada kejohanan ini. Sebab itu kami perlu menang perlawanan ini.

“Dengan komitmen dan semangat juang tinggi, saya percaya kami mampu menewaskan lawan seperti yang dilakukan pada perlawanan di gelanggang lawan sebelum ini.

“Namun, jentera pertahanan akan ada perubahan berikutan ketiadaan Saiful Nizam Miswan yang digantung satu perlawanan. Saya yakin pemain yang mengisi kekosongan itu mampu menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:35 AM