Oleh Asrol Awang


Kuantan: Kapten Pahang Mohd Razman Roslan percaya kemenangan bakal menjadi milik mereka apabila berdepan kelab Myanmar Yadanarbon FC pada aksi pembuka tirai Kumpulan G Piala AFC di Stadium Mandar Thiri, Mandalay, malam ini.

Biarpun prestasi kurang meyakinkan dipersembahkan dalam saingan Liga Super, pemain pertahanan itu mahu rakan sepasukan mempertingkatkan prestasi untuk memastikan kejayaan.

“Saya akui Yadanarbon memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri tapi kami perlu lebih fokus dan tidak sesekali membenarkan tuan rumah meraih sebarang mata.

“Apa yang diperlukan ketika ini kerjasama dan disiplin tinggi semua pemain untuk menang,” katanya semalam.

Jurulatih Zainal Abidin Hassan berkata, keputusan perlawanan penting bagi menilai keupayaan pasukan sepanjang perlawanan peringkat kumpulan.

Katanya, kemenangan menjadi fokus utama biarpun prestasi pasukan dalam saingan Liga M belum mencapai tahap diinginkan.

“Apa yang boleh saya katakan peningkatan ditunjukkan pemain dalam tiga perlawanan liga diharap berterusan.

“Biarpun jentera serangan agak tumpul saya percaya mereka mampu menjaringkan gol,” katanya.

Selain Pahang dan Yadanarbon FC, Kumpulan G turut disertai kelab Hong Kong, South China dan Global FC (Filipina).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:17 AM