Oleh Asrol Awang


Kuantan: Mohd Razman Roslan (gambar) yang sekadar menjadi pemerhati pada dua perlawanan Piala AFC 2015 percaya Pahang akan kembali meraih tiga mata berharga apabila berdepan South China di Hong Kong, esok.

Ketua pasukan berusia 31 tahun itu berkata, terlepas dua perlawanan akibat penggantungan amat memeritkan kerana Pahang sekadar meraih empat mata daripada tiga perlawanan termasuk kekalahan 0-1 di tangan kelab Hong Kong itu.

Tegasnya, kekalahan kepada South China akan ditebus kerana Pahang hanya mencatat satu kemenangan dan satu seri jika mahu melangkah ke suku akhir pada kejohanan itu.

“Tiada cara lain jika mahu menjadi dua pasukan dalam kumpulan ini yang layak walaupun masih ada baki dua perlawanan bertemu Yadanarbon FC dan Global FC.

“Kami perlu lebih agresif dan memanfaatkan segala peluang untuk memastikan tambahan mata kerana Yadanarbon FC dan Global FC turut berpeluang ke pusingan seterusnya,” katanya.

Pada dua perlawanan lalu, Razman tidak dapat beraksi akibat dilayangkan kad merah ketika Pahang menewaskan kelab Myanmar Yadanarbon 3-2 yang menyebabkan dia terlepas peluang ketika bertemu Global FC dan South China.

Mengulas peluang mencipta kemenangan ke atas tuan rumah, dia percaya tiga kemenangan diraih dalam saingan liga tempatan mampu memberikan kekuatan buat pasukan.

“Pada pertemuan dengan South China, Pahang tidak dapat menurunkan kesebelasan utama yang menyaksikan lawan membawa pulang tiga mata berharga.

“Saya percaya peluang meraih kemenangan tetap ada jika semua rakan bermain pada tahap terbaik.

“Saya tidak nampak sukar untuk menewaskan tuan rumah kerana mereka cuma menang 1-0 di Kuantan dan sudah pasti peluang meraih mata tetap ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 8:59 AM