Oleh Asrol Awang


Kuantan: Dickson Nwakaeme yang melakukan hatrik ketika Pahang membelasah Yadanarbon FC 7-4 enggan mendabik dada sebaliknya fokus utama adalah memastikan layak beraksi di pusingan kedua Piala AFC.

Pemain kelahiran Nigeria itu berkata, kemenangan besar itu memberi suntikan semangat kepadanya serta rakan sepasukan untuk memburu kemenangan.

Katanya, tiada yang mustahil untuk melakukannya jika persembahan seperti bertemu Yadanarbon FC dapat dipamerkan sekali gus menaikkan imej skuad Pahang di pentas Asia.

“Bagi saya hatrik ini hasil kerjasama dan persefahaman mantap dalam kalangan rakan sepasukan.

“Saya berterima kasih biar
pun mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi tiga gol ini meningkatkan lagi azam saya untuk membolosi gawang lawan pada setiap perlawanan,” katanya.

Selain Nwakaeme, D Saarvindran yang kali pertama beraksi dalam saingan Piala AFC menjaringkan dua gol diikuti Matias Conti dan Mohd Hafiz Kamal, masing-masing satu gol.

Sementara itu, jurulatih Zainal Abidin Hassan memuji penampilan pertama Saarvindran dalam saingan Piala AFC itu apabila berjaya menyumbang dua gol.

Katanya, biarpun pemain tengah itu dimasukkan pada babak kedua, dia cepat menemui rentak persembahan dan berjaya meledak gol.

“Saya harap Saarvindran dapat meningkatkan lagi prestasinya kerana baru dua perlawanan dilaluinya musim ini selepas rehat panjang akibat kecederaan.

“Perkembangan positif dalam skuad ini sudah pasti memberikan impak positif untuk memastikan Pahang meraih kejayaan pada setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:48 AM