Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Viral berkaitan kejadian tembak membabitkan kereta Toyota Alphard di Seksyen 15 di sini, awal pagi tadi adalah palsu dan kes itu hanya membabitkan penemuan pistol tiruan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab seumpama itu yang hanya menyebabkan kegusaran kepada orang awam.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan awam mengenai keadaan kenderaan mewah itu yang dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta berdekatan restoran berkenaan pada 7.15 malam semalam.

"Pemeriksaan kemudian menemui pistol tiruan di poket belakang tempat duduk pemandu. Kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita dan dua suspek termasuk anak pemilik kenderaan ditahan di sekitar lokasi sama pada 8 malam.

"Ia kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek di sebuah rumah di Batu Tiga, kira-kira jam 3.30 pagi tadi (semalam) dan merampas sepucuk lagi pistol tiruan. Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Senjata 1960," katanya.

Kata Shafien, tiada sebarang kejadian tembakan berlaku dan tiga suspek itu dipercayai terbabit dalam kes samun serta pecah kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 8:23 PM