Sepucuk pistol tiruan dan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki di kawasan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa di Kuala Lumpur, pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Sepucuk pistol tiruan dan barangan yang dirampas daripada seorang lelaki di kawasan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa di Kuala Lumpur, pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki ditahan polis di kawasan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa di sini, awal pagi hari ini kerana memiliki pistol tiruan dan barangan disyaki untuk tujuan jenayah.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Petaling sedang membuat rondaan di kawasan sebelum mengesan sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan pada 2.40 pagi.

Menurutnya, selepas didekati terdapat seorang lelaki berusia 52 tahun dalam kenderaan berkenaan dan hasil pemeriksaan dalam kereta itu kemudiannya menemui pelbagai barangan mencurigakan termasuk sepucuk pistol tiruan.

"Antara barangan lain yang turut dirampas adalah sebutir menyerupai peluru, kasut, topi, kad nama bertulis ASP, telefon bimbit, tablet, beg silang dan kereta Perodua Axia.

"Suspek ditahan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 12:26 PM