POLIS memeriksa kenderaan yang  ditinggalkan. FOTO Faiz Anuar
POLIS memeriksa kenderaan yang ditinggalkan. FOTO Faiz Anuar
Fuad Hadinata Yaacob


PENJENAYAH cedera di paha kanan selepas ditembak polis ketika melanggar kereta polis dalam usaha melarikan diri daripada ditahan di Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan melakukan siasatan terhadap kes samun Toyota Vios di tempat letak kereta Kondominium Vista Alam di Seksyen 4, Shah Alam.

Pada 2.30 petang, dua lelaki dikesan menaiki kereta terbabit dan apabila menyedari kehadiran polis, mereka memecut dan melanggar kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri kerana suspek berterusan melanggar kereta polis.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri hingga ke Seksyen 7 sebelum memberhentikan kereta.

"Polis mengejar suspek sebelum berjaya menahan kedua-keduanya kira-kira 500 meter dari tempat kereta ditinggalkan.

"Siasatan mendapati suspek berusia 31 dan 35 tahun.

"Pemeriksaan di rumah suspek di Kondominium Vista Alam menemui dua rakan suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita 32 tahun," katanya.

Shafien berkata, kedua-duanya ditahan dan pemeriksaan di rumah itu menemui tiga pistol tiruan serta beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun.

Beliau berkata, suspek yg cedera dibawa ke Hospital Shah Alam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:12 PM