MANGSA kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
MANGSA kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Lelaki dan budak perempuan maut manakala ibu budak itu parah apabila motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, pagi tadi.

Kejadian 10.45 pagi itu mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu maut di tempat kejadian manakala lelaki terbabit, Shahrim Daini, 46, meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari Ayer Hitam ke Batu Pahat.

"Namun sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori yang cuba membelok ke kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak terbabit bersama lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia.

“Ibu kanak-kanak terbabit pula kini sedang mendapat rawatan dan berada dalam keadaan separa sedar," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 5:17 PM