KEADAAN kereta dipandu mangsa selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kereta dipandu mangsa selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Wanita yang dalam perjalanan menghantar adik perempuannya ke sekolah maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kampung Sri Bandan, Tanjung Sembrong, dekat Ayer Hitam, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu menyebabkan Sazareenanazua Mohd Samsudin, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik perempuannya yang berumur 10 tahun parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang elektrik berhampiran lokasi.

"Kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat Sazareenanazua kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat manakala adiknya turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 2:53 PM